nuffnang code

Tuesday 16 December 2014

KARNIVAL KELAB DAN PERSATUAN 2014

Kuala Lumpur (6 November 2014) - Karnival ini dijalankan selepas selesai karnival sukan dan permainan. Terdapat dua pertandingan yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Reka Cipta dan Pertandingan Menghias Buah-buahan. Masa yang ditetapkan untuk kesemua pasukan adalah selama 2 jam. Pertandingan dijalankan serentak oleh kerana kekangan masa. Terima kasih diucapkan kepada GPK HEM, Pn. Norheda Bt. Ismail di atas kesudian beliau menjadi juri akhir pertandingan untuk pemberian markah bagi setiap pasukan. 

Pasukan Rumah Biru menghasilkan karya mereka

Guru dan murid bersama-sama memberikan idea

Pasukan Rumah Hijau bekerjasama sebagai satu pasukan

Murid melontarkan idea untuk menghasilkan rekaan masing-masing
Hasil akhir Pasukan Rumah Hijau

Hasil akhir kesemua pasukan yang bertanding

Pemenang akan menerima hadiah di Majlis Anugerah Kokurikulum 2014 nanti. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding. Hasil akhir juara akan dipamerkan di Majlis Anugerah Kokurikulum 2014. 'Majulah Sukan Untuk Negara'

Thursday 11 December 2014

AFF Suzuki Cup 2014


Lari sikit dari bidang Pendidikan tapi still dalam bidang sukan.

Tahniah diucapkan kepada team Harimau Malaya di atas kemenangan dengan Vietnam seterusnya berjaya layak ke pentas final AFF Suzuki Cup 2014 menentang Thailand. Dengan semangat yang ditunjukkan oleh team Malaysia serta berkat seluruh rakyat Malaysia mereka berjaya.

Akan tetapi, tahniah juga buat rakyat Vietnam dengan sikap yang profesional walaupun team mereka kalah, tetap memberikan sokongan buat kedua-dua pasukan yang bertanding.Sikap ini yang perlu kita jadikan contoh demi membangunkan sukan di negara kita. 

Biarlah perkara yang sudah berlalu dijadikan pedoman serta pengajaran buat kita seluruh rakyat Malaysia. Bak kata pepatah ' Buang yang keroh, ambil yang jernih '. 

Dengan harapan yang tinggi menggunung agar pasukan Harimau Malaya berjaya menewaskan pasukan Thailand di final nanti. Kami sentiasa memberikan sokongan padu buat team Malaysia. Doa kami akan mengiringi kejayaan kalian semua.

Monday 8 December 2014

STANDARD KECERGASAN FIZIKAL KEBANGSAAN (SEGAK)

Pengenalan



Program penilaian  Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan  ( SEGAK ) ini telah dirancang selari dengan sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Menengah



Gaya hidup masyarakat Malaysia kini bertambah sedentari.  Kecergasan yang optimum boleh membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian tanpa berasa letih dan lesu. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang standard dapat diukur.



“SEGAK” mula diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005. Ujian ini dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya ke sekolah mulai sesi persekolahan tahun 2008. Pelaporan hasil ujian ini akan mendapat pengiktirafan sijil secara peperiksaan berpusat.



Rekod penilaian kecergasan memberi maklumat tentang tahap kecergasan murid. Ujian yang dijalankan secara sistematik perlu diadakan dua kali setahun dan diharap dapat memotivasikan murid mengamal gaya hidup sihat.  Murid akan lebih bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kesejahteraan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. 




Definisi Kecergasan Fizikal



“Kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi individu perlindungan dari ancaman penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan pelbagai penyakit otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi dan keupayaan individu untuk bertanding dalam aktiviti sukan dengan bertenaga, berdaya kuasa, kekuatan, berdaya tahan, kemahiran dan sebagainya.”



Falls, 1980


Matlamat


Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkat dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal yang optimum.

  
Objektif


Murid dapat :

1.     mengetahui kepentingan kecergasan fizikal;

2.     melakukan ujian kecergasan yang dirancang oleh pentadbir sekolah;

3.     menganalisis, mengintepretasi dan menyimpan rekod kecergasan fizikal individu;

4.     melakukan tindakan susulan untuk meningkatkan kecergasan fizikal individu melalui perancangan aktiviti kecergasan secara sistematik; dan

5.     pengiktirafan tahap kecergasan individu berdasarkan prestasi semasa.



Prosedur



Semua murid perlu menjalani ujian-ujian kecergasan fizikal yang dicadangkan dalam buku panduan ini. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut peringkat umur, kebolehan murid, serta mengambilkira peralatan dan tempat ujian dijalankan. Umur murid dikira pada 1 hb. Januari untuk rujukan norma.



Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada hari yang sama. Guru melatih murid terlebih dahulu dan murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama rakan atau keluarga mereka.  Ujian ini mesti dilengkapkan mengikut urutan secara berterusan.  Urutan item bateri ujian adalah seperti berikut;

1.            Naik Turun Bangku ( 3 minit )

2.            Tekan Tubi ( 1 minit )

3.            RIngkuk (1 minit )

4.            Jangkauan Melunjur (3 kali percubaan)



Ukuran Indeks Jisim Badan perlu dibuat sebelum melakukan ujian ini. Ujian yang dicadangkan ini boleh digunakan sebagai aktiviti latihan kecergasan. Ujian ini perlu dilaksanakan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos.



Bagi murid yang tidak sihat, guru boleh menjalankan ujian pada hari yang lain pada bulan yang sama.



Persediaan

1.     Murid telah berlatih secukupnya sebelum menjalani ujian, khasnya dalam latihan aerobik.

2.     Murid mesti melakukan aktiviti memanaskan badan secukupnya sebelum menjalani ujian.



Keselamatan

1.     Murid  dikecualikan daripada mengambil ujian ini jika :

(a)  disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak layak mengambil ujian kecergasan fizikal;

(b)  mengidap penyakit kronik; dan

(c)  tidak sihat pada waktu ujian.

2.     Alatan ujian yang digunakan mesti lengkap, selamat dan berfungsi dengan baik.

3.     Kawasan ujian mesti selamat dan sesuai dengan jenis ujian yang hendak dijalankan.

4.     Murid memakai pakaian Pendidikan Jasmani.

5.     Pengawasan guru diutamakan semasa ujian dilaksanakan.

6.     Murid melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas ujian dilaksanakan.


Prinsip Latihan

Untuk mengelakkan kecederaan dan meningkatkan prestasi, murid perlu mematuhi prinsip-prinsip latihan kecergasan seperti berikut:



1.         Prinsip tambah bebanan

Ketika menjalani latihan, penambahan beban perlu dibuat secara beransur-ansur berdasarkan kemampuan agar tidak mendatangkan kecederaan.  Keadaan ini melatih otot bekerja lebih kuat seterusnya meningkatkan kecergasan.



2.         Prinsip perbezaan individu

Kemampuan dan keupayaan individu adalah berbeza.  Guru harus menyesuaikan aktiviti latihan mengikut keupayaan individu.



3.         Prinsip kekhususan

Latihan fizikal yang dijalankan perlulah diberikan berdasarkan keperluan kecergasan individu dan jenis sukan yang diceburi.



4.         Prinsip kebolehbalikan

Kesan atau hasil latihan bukanlah sesuatu yang kekal. Sekiranya latihan tidak dilakukan secara berterusan, penurunan dalam prestasi akan berlaku.



5.         Prinsip kepelbagaian latihan

Program latihan perlu dipelbagaikan untuk mengekalkan minat individu dalam sesuatu aktiviti bagi mengelakkan kebosanan.


Pelaporan
1.  Murid perlu merekod hasil ujian mereka.

2.  Guru mengesahkan ujian yang telah dilakukan oleh murid.

3.  Guru melaporkan hasil ujian dalam laporan Penilaian Kendalian Sekolah.



Iklan lagi untuk anda