nuffnang code

Tuesday 16 December 2014

KARNIVAL KELAB DAN PERSATUAN 2014

Kuala Lumpur (6 November 2014) - Karnival ini dijalankan selepas selesai karnival sukan dan permainan. Terdapat dua pertandingan yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Reka Cipta dan Pertandingan Menghias Buah-buahan. Masa yang ditetapkan untuk kesemua pasukan adalah selama 2 jam. Pertandingan dijalankan serentak oleh kerana kekangan masa. Terima kasih diucapkan kepada GPK HEM, Pn. Norheda Bt. Ismail di atas kesudian beliau menjadi juri akhir pertandingan untuk pemberian markah bagi setiap pasukan. 

Pasukan Rumah Biru menghasilkan karya mereka

Guru dan murid bersama-sama memberikan idea

Pasukan Rumah Hijau bekerjasama sebagai satu pasukan

Murid melontarkan idea untuk menghasilkan rekaan masing-masing
Hasil akhir Pasukan Rumah Hijau

Hasil akhir kesemua pasukan yang bertanding

Pemenang akan menerima hadiah di Majlis Anugerah Kokurikulum 2014 nanti. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding. Hasil akhir juara akan dipamerkan di Majlis Anugerah Kokurikulum 2014. 'Majulah Sukan Untuk Negara'

Thursday 11 December 2014

AFF Suzuki Cup 2014


Lari sikit dari bidang Pendidikan tapi still dalam bidang sukan.

Tahniah diucapkan kepada team Harimau Malaya di atas kemenangan dengan Vietnam seterusnya berjaya layak ke pentas final AFF Suzuki Cup 2014 menentang Thailand. Dengan semangat yang ditunjukkan oleh team Malaysia serta berkat seluruh rakyat Malaysia mereka berjaya.

Akan tetapi, tahniah juga buat rakyat Vietnam dengan sikap yang profesional walaupun team mereka kalah, tetap memberikan sokongan buat kedua-dua pasukan yang bertanding.Sikap ini yang perlu kita jadikan contoh demi membangunkan sukan di negara kita. 

Biarlah perkara yang sudah berlalu dijadikan pedoman serta pengajaran buat kita seluruh rakyat Malaysia. Bak kata pepatah ' Buang yang keroh, ambil yang jernih '. 

Dengan harapan yang tinggi menggunung agar pasukan Harimau Malaya berjaya menewaskan pasukan Thailand di final nanti. Kami sentiasa memberikan sokongan padu buat team Malaysia. Doa kami akan mengiringi kejayaan kalian semua.

Monday 8 December 2014

STANDARD KECERGASAN FIZIKAL KEBANGSAAN (SEGAK)

Pengenalan



Program penilaian  Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan  ( SEGAK ) ini telah dirancang selari dengan sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Menengah



Gaya hidup masyarakat Malaysia kini bertambah sedentari.  Kecergasan yang optimum boleh membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian tanpa berasa letih dan lesu. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang standard dapat diukur.



“SEGAK” mula diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005. Ujian ini dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya ke sekolah mulai sesi persekolahan tahun 2008. Pelaporan hasil ujian ini akan mendapat pengiktirafan sijil secara peperiksaan berpusat.



Rekod penilaian kecergasan memberi maklumat tentang tahap kecergasan murid. Ujian yang dijalankan secara sistematik perlu diadakan dua kali setahun dan diharap dapat memotivasikan murid mengamal gaya hidup sihat.  Murid akan lebih bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kesejahteraan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. 




Definisi Kecergasan Fizikal



“Kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi individu perlindungan dari ancaman penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan pelbagai penyakit otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi dan keupayaan individu untuk bertanding dalam aktiviti sukan dengan bertenaga, berdaya kuasa, kekuatan, berdaya tahan, kemahiran dan sebagainya.”



Falls, 1980


Matlamat


Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkat dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal yang optimum.

  
Objektif


Murid dapat :

1.     mengetahui kepentingan kecergasan fizikal;

2.     melakukan ujian kecergasan yang dirancang oleh pentadbir sekolah;

3.     menganalisis, mengintepretasi dan menyimpan rekod kecergasan fizikal individu;

4.     melakukan tindakan susulan untuk meningkatkan kecergasan fizikal individu melalui perancangan aktiviti kecergasan secara sistematik; dan

5.     pengiktirafan tahap kecergasan individu berdasarkan prestasi semasa.



Prosedur



Semua murid perlu menjalani ujian-ujian kecergasan fizikal yang dicadangkan dalam buku panduan ini. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut peringkat umur, kebolehan murid, serta mengambilkira peralatan dan tempat ujian dijalankan. Umur murid dikira pada 1 hb. Januari untuk rujukan norma.



Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada hari yang sama. Guru melatih murid terlebih dahulu dan murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama rakan atau keluarga mereka.  Ujian ini mesti dilengkapkan mengikut urutan secara berterusan.  Urutan item bateri ujian adalah seperti berikut;

1.            Naik Turun Bangku ( 3 minit )

2.            Tekan Tubi ( 1 minit )

3.            RIngkuk (1 minit )

4.            Jangkauan Melunjur (3 kali percubaan)



Ukuran Indeks Jisim Badan perlu dibuat sebelum melakukan ujian ini. Ujian yang dicadangkan ini boleh digunakan sebagai aktiviti latihan kecergasan. Ujian ini perlu dilaksanakan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos.



Bagi murid yang tidak sihat, guru boleh menjalankan ujian pada hari yang lain pada bulan yang sama.



Persediaan

1.     Murid telah berlatih secukupnya sebelum menjalani ujian, khasnya dalam latihan aerobik.

2.     Murid mesti melakukan aktiviti memanaskan badan secukupnya sebelum menjalani ujian.



Keselamatan

1.     Murid  dikecualikan daripada mengambil ujian ini jika :

(a)  disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak layak mengambil ujian kecergasan fizikal;

(b)  mengidap penyakit kronik; dan

(c)  tidak sihat pada waktu ujian.

2.     Alatan ujian yang digunakan mesti lengkap, selamat dan berfungsi dengan baik.

3.     Kawasan ujian mesti selamat dan sesuai dengan jenis ujian yang hendak dijalankan.

4.     Murid memakai pakaian Pendidikan Jasmani.

5.     Pengawasan guru diutamakan semasa ujian dilaksanakan.

6.     Murid melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas ujian dilaksanakan.


Prinsip Latihan

Untuk mengelakkan kecederaan dan meningkatkan prestasi, murid perlu mematuhi prinsip-prinsip latihan kecergasan seperti berikut:



1.         Prinsip tambah bebanan

Ketika menjalani latihan, penambahan beban perlu dibuat secara beransur-ansur berdasarkan kemampuan agar tidak mendatangkan kecederaan.  Keadaan ini melatih otot bekerja lebih kuat seterusnya meningkatkan kecergasan.



2.         Prinsip perbezaan individu

Kemampuan dan keupayaan individu adalah berbeza.  Guru harus menyesuaikan aktiviti latihan mengikut keupayaan individu.



3.         Prinsip kekhususan

Latihan fizikal yang dijalankan perlulah diberikan berdasarkan keperluan kecergasan individu dan jenis sukan yang diceburi.



4.         Prinsip kebolehbalikan

Kesan atau hasil latihan bukanlah sesuatu yang kekal. Sekiranya latihan tidak dilakukan secara berterusan, penurunan dalam prestasi akan berlaku.



5.         Prinsip kepelbagaian latihan

Program latihan perlu dipelbagaikan untuk mengekalkan minat individu dalam sesuatu aktiviti bagi mengelakkan kebosanan.


Pelaporan
1.  Murid perlu merekod hasil ujian mereka.

2.  Guru mengesahkan ujian yang telah dilakukan oleh murid.

3.  Guru melaporkan hasil ujian dalam laporan Penilaian Kendalian Sekolah.



Friday 28 November 2014

PANDUAN KESELAMATAN DIRI PELAJAR SEMASA AKTIVITI KOKURIKULUM


SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 9/2000:
Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum
dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah

Kementerian Pendidikan memandang amat serius akan beberapa insiden kemalangan,
membabitkan murid sekolah yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kemalangan yang berlaku
didapati telah membawa kepada kecederaan dan kematian pelajar kerana terhempap
palang gol, terlanggar tiang gol, terkena lontaran peluru dan terjatuh di dalam tangki najis.
 
2. Berlakunya insiden-insiden sedemikian, menggambarkan bahawa pihak pengurusan
sekolah telah mengabaikan aspek keselamatan yang sepatutnya sentiasa diberi perhatian
dan keutamaan.

3. Pihak sekolah adalah dipertanggungjawabkan, untuk memastikan keselamatan diri
pelajar terjamin semasa berada di sekolah. Oleh itu langkah-langkah keselamatan perlu
diwujud dan diamalkan untuk mengelak atau mengawal sebarang kemungkinan berlakunya
kemalangan di kalangan murid ketika menjalani aktiviti di sekolah, sama ada aktiviti-aktiviti
pembelajaran, pendidikan jasmani, kegiatan kokurikulum atau sukan.

4. Sebagai panduan, berikut adalah di antara beberapa langkah yang sewajarnya
dilakukan:-

4.1 Guru Opsyen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan:
4.1.1 Menjaga keselamatan murid dengan rapi semasa di dalam atau di luar
bilik darjah.
4.1.2 Bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan menyimpan alat-alat
sukan walaupun boleh dibantu oleh murid.

4.2 Guru Kokurikulum dan Sukan:

4.2.1 Guru-guru mestilah mengawasi dan peka terhadap keselamatan
murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum
dan sukan.
4.2.2 Guru-guru hendaklah memastikan semua alat sukan berada dalam
keadaan baik dan selamat sebelum digunakan.

4.3 Murid:
4.3.1 Setiap murid perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari ibu bapa
atau penjaga dan pengetua atau guru besar untuk mengambil
bahagian di dalam sukan dan aktiviti kokurikulum di luar sekolah.
4.3.2 Keselamatan dan kebajikan murid perlu diberi keutamaan seperti
makanan dan minuman dan lain-lain lagi.
4.3.3 Guru hendaklah mengiringi murid dalam semua aktiviti di luar
kawasan sekolah. Sekiranya terdapat murid perempuan, seorang guru
wanita hendaklah mengiringi pasukan tersebut.
4.3.4 Kesihatan murid perlu diberi perhatian dan diambil kira.
4.3.5 Murid yang mempunyai penyakit kronik tidak boleh dipaksa
mengambil bahagian.
4.3.6 Bagi semua aktiviti lasak, murid-murid dikehendaki menjalani
pemeriksaan doktor terlebih dahulu.
4.3.7 Murid-murid yang cedera, semput atau lelah (asthma) tidak
dibenarkan mengambil bahagian.

4.4 Skim Perlindungan Diri:
4.4.1 Sekolah digalakkan mengadakan skim perlindungan diri untuk semua
murid yang merangkumi perkara-perkara berikut:
a) kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik sekolah.
b) kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik bersukan.
c) kemalangan semasa menyertai sukan dan kokurikulum.
d) kemalangan yang disebabkan peralatan sukan yang masih
dalam 'warranty'

4.5 Penyelenggaraan Peralatan Sukan (Stor Sukan):

4.5.1 Peralatan sukan yang dianggap merbahaya dan jika diabaikan boleh
membawa maut adalah Lembing, Peluru, Cakera, Tukul Besi, Tiang
Lompat Tinggi, Tiang Lompat Bergalah, Kayu Hoki, Kayu Golf, Bad
Kriket, Bola Hoki, Bola Kriket, Bola Golf, Bola Baling, Bola Billiard,
Dart, Spikes, Anak Panah dan Peralatan Gimnastik.
4.5.2 Pastikan semua latihan sukan yang menggunakan peralatan yang
merbahaya seperti yang dinyatakan dalam 4.5.1 diadakan pada hari
atau masa yang berasingan dengan latihan sukan lain.
4.5.3 Peralatan merbahaya hendaklah disimpan, dijaga dan diawasi
penggunaannya dengan rapi sepanjang masa,
4.5.4 Alat-alat sukan mestilah diletakkan pada tempat khas yang mudah
diambil oleh orang-orang yang ditugaskan sahaja.
4.5.5 Setiap alat yang dikeluarkan dari stor sukan mestilah direkodkan
dalam buku keluar-masuk alat-alat sukan oleh guru atau jurulatih
sahaja.
4.5.6 Peralatan sukan tidak boleh dibawa pulang ke rumah oleh sesiapa
pun dan ia hendaklah diambil dan dipulangkan pada hari yang sama.
4.5.7 Mempunyai kawasan yang selamat untuk menyimpan semua
peralatan yang tidak digunakan.
4.5.8 Penjaga stor hendaklah memeriksa dan memastikan peralatan yang
baik sahaja yang boleh dikeluarkan.
4.5.9 Peralatan yang sudah rosak hendaklah dilaporkan pada pentadbir
sama ada untuk diperbaiki atau dimusnahkan.

4.6 Peralatan Sukan:
4.6.1 Peralatan sukan seperti Tiang Gol hendaklah ada ‘warranty’ daripada
pembekal selain daripada piawai yang diluluskan oleh undang-undang
persatuan sukan.
4.6.2 Semua peralatan yang sudah tamat tarikh luput hendaklah
dimusnahkan dengan serta merta.
4.6.3 Adalah salah membeli, meminjam atau memberi pinjam, mengguna
peralatan sukan yang tidak mendapat pengiktirafan dari Badan Sukan.

4.7 Kawasan Sukan/Permainan:
4.7.1 Kawasan latihan, permainan atau sukan hendaklah berada dalam
keadaan yang baik dan terurus.

4.8 Kawasan Larangan:
4.8.1 Kawasan Larangan dan merbahaya adalah kawasan yang dibenarkan
kepada guru/jurulatih sahaja untuk mengawasi aktiviti sukan.
a) Kolam Renang.
b) Dewan Gimnastik.
c) Bilik Kecergasan/Latihan Beban.
d) Stor Sukan.
e) Kawasan Berpagar tempat menyimpan peralatan sukan yang
besar seperti Tiang Gol.

4.9 Cuaca/Musim:
4.9.1 Adalah dilarang sama sekali menjalankan aktiviti sukan di tempat
lapang semasa cuaca buruk dan adanya kilat atau petir.
4.9.2 Adalah tidak dibenarkan mengadakan aktiviti sukan semasa hujan
dan ribut petir, sama ada di padang atau kolam renang.
4.9.3 Berhentikan aktiviti sukan apabila keadaan menjadi gelap kerana
hendak hujan.

4.10 Laporan Kemalangan atau Kecederaan:
4.10.1 Sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku hendaklah
disiasat dan dilaporkan kepada pengetua atau guru besar dengan
segera.
4.10.2 Semua jenis kemalangan mestilah direkodkan.

4.11 Aktiviti Sukan Kemahiran Tinggi:

4.11.1 Segala aktiviti sukan seperti gimnastik terjun dan lain-lain yang
memerlukan kemahiran tinggi perlu diajar oleh guru sukan yang
bertauliah.
4.11.2 Pastikan ada 'life saver' yang bertauliah bertugas semasa aktivitiaktiviti
sukan renang dijalankan.

4.12 Pelaporan Aktiviti (Penilaian):
4.12.1 Guru pengiring mestilah membuat laporan bertulis kepada pihak
sekolah mengenai sebarang aktiviti yang dijalankan atau disertai.

(Sumber : Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.9/2000)

Monday 24 November 2014

KARNIVAL SUKAN DAN PERMAINAN 2014

Pada 5 dan 6 November 2014, Sekolah Kebangsaan Jalan Hang Tuah 2, Kuala Lumpur telah menjalankan Karnival Sukan dan Permainan. Antara pertandingan yang dilaksanakan adalah Mini Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Tampar dan Balapan 4 x 100. Kategori pertandingan adalah mewakili rumah sukan sekolah. Sistem pertandingan berbentuk liga dan kalah mati (separuh akhir & akhir).
Taklimat Karnival oleh En. Mohd Syahirman Abdullah
Perlawanan Mini Bola Sepak antara rumah hijau dan rumah merah
Perlawanan Mini Bola Sepak antara rumah biru dan rumah hijau

Statistik Karnival Sukan dan Permainan

Perlawanan Bola Jaring antara rumah biru dan rumah hijau


Perlawanan Bola Tampar di Gelanggang B

Pertandingan Bola Tampar di separuh akhir

Pertandingan Mini Bola Sepak telah dimenangi pasukan rumah biru (B) dengan mengalahkan pasukan rumah biru (A). Manakala pertandingan Bola Jaring juga dimenangi pasukan rumah biru (A) menumpaskan pasukan rumah biru (B). Bagi pertandingan Bola Tampar, rumah merah (A) telah mengalahkan pasukan rumah hijau (A).

Karnival Sukan dan Permainan berjaya dilaksanakan dengan baik dan tahniah diucapkan kepada para pemenang. Kepada pasukan yang tidak berjaya, bukan bermakna pasukan anda tidak hebat tetapi mungkin tiada rezeki memihak kepada anda. Sila cuba tahun depan. SKJHT2 BOLEH!!

Iklan lagi untuk anda